ISA SEJAJAR DENGAN TUNTUTAN ISLAM PEMERINTAH WAJIB MEMPERTAHANKANNYA
Disalin oleh: Omar bin Khalid
Bantahan termasuk melakukan rusuhan yang dilancarkan oleh sesetengah pihak terhadap akta ini sama ada atas nama parti Islam atau NGO adalah hasil daripada kegagalan mereka dalam memahami perbezaan dan fungsi antara dua kuasa, iaitu: kuasa eksekutif (al-Sultah al-Tanfiziah) dan kuasa perundangan al-Sultah al-Qadhiah. Kedua-dua bidang ini mempunyai bidang kuasa dan pendekatan yang berbeza dalam menjalankan fungsi masing-masing disebabkan peranan dan tanggungjawab yang berbeza. Para ulama yang membicarakan berkenaan sistem politik Islam atau al-Siasah al-Syariyyah telah menghuraikan peranan serta bidang kuasa ketua negara dalam menjalankan tugasnya.
- Al-Imam al-Qarafi menyatakan: Pemerintah adalah orang yang diserahkan kepadanya mentadbir seluruh urusan rakyat, menjaga kepentingan umum dan membanteras segala yang merosakkan, mengekang penjenayah, membunuh penderhaka dan menguruskan penempatan rakyat dalam negara dan perkara-perkara lain yang seumpama dengannya.
- Al-Imam al-Juwaini menyatakan bahawa antara tanggungjawab pemerintah ialah: Memelihara akidah dan amalan agama umat Islam sejauh mana yang boleh dilakukan, menghapus kekeliruan yang dibawa oleh penyeleweng agama, membanteras amalan bidaah serta penganjur-penganjurnya.
Daripada dua huraian yang dibuat oleh dua orang ulama ini dapatlah disimpulkan bahawa tanggungjawab pemerintah dalam Islam begitu besar dan luas. Ia merangkumi kepentingan-kepentingan yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan agama seperti keamanan negara, keselamatan nyawa dan harta benda penduduk serta kebajikan mereka, keselamatan akidah serta kemudahan menunaikan pemerintah agama.
Bagi melaksanakan tanggungjawab yang besar ini, ketua negara sudah tentu mempunyai bidang kuasa yang diperlukan tanpa diikat oleh prosedur-prosedur ketat seperti dalam bidang kehakman. Menjelaskan hal ini, Imam al Qarafi menyatakan: Ketua negara mempunyai kuasa kehakiman dan kuasa mengeluarkan fatwa. Ia juga boleh melakukan perkara-perkara yang tidak bersifat fatwa dan kehakiman seperti menghimpunkan tentera, mengisytiharkan peperangan, memungut hasil dan membelanjakannya pada tempat yang sesuai dan betul, melantik pegaawai-pegawai, membunuh penderhaka, iaitu tugas yang banyak dan tidak boleh dilakukan oleh hakim dan juga mufti.”
Antara bidang kuasa yang menjadi tanggungjawab ketua negara ialah kuasa hisbah. Ini merangkumi tanggungjawanb mengeluarkan perintah dan peraturan yang bertujuan menjaga kepentingan umum, menguatkuasakan peraturan-peraturan keselamatan negara, ketenteraman awam, ekonomi, pengangkutan, perusahaan dan sebagainya.
Menjelaskan kuasa hisbah ini, Ibn al-Qayyim dalam kitabnya al-Thuru al Hukmiyah menyatakan: Bahawa hukum-hukum yang dijalankan di bawah kuasa hisbah merupakan hukum-hukum syarak. Hukum-hukum tersebut mempunyai kaedah-kaedah pelaksanaan di sisi syarak. Kepentingan umat mungkin tidak dapat dijaga dengan sempurna tanpanya. Pelaksanaan seperti ini tidak memerlukan pendakwa dan orang yang didakwa. Jika prosedur sedemikian tidak diikuti, maka kepentingan umat akan musnah dan sistem pemerintahan akan menjadi kucar kacir. Pihak berkuasa boleh menjalankan kuasa ini berasaskan petanda-petanda dan alamat-alamat yang jelas serta hubung kait yang boleh dijadikan keterangan (circumstantial evidence),
Maka di bawah kuasa hisbah ini, pemerintah dalam Islam boleh menahan seseorang tanpa dibicara atas sebab-sebab kepentingan umum dan keselamatan negara. Menghuraikan persoalan ini, Dr. Sajd bin Said ad-Duraib dalam kitabnya al -Tanzim al-Qadha, Fi al-Mamlakah as-Saudiyyah menyatakan: Sesungguhnya ketua negara dengan kuasa eksekutifnya boleh mengeluarkan perintah membekukan harta atau membelanjakannya. Ia juga boleh mengasingkan (memenjara atau memencilkan) orang yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat seperti yang dilakukan oleh Saidina Umar r.a terhadap Sobiq bin Asal kerana usahanya mengelirukan orang ramai tentang al-Quran. Pemerintah juga boleh menahan dan membuang daerah sesiapa yang pada pandangannya boleh memudaratkan masyarakat.”
Para imam mazhab telah membincangkan persoalan ini dalam kitab-kitab mereka seperti yang disebut oleh as-Syatibi dalam kitabnya ”al-I’tisom”: Sesungguhnya para ulama berbeza pendapat tentang keharusan memukul tertuduh dengan tuduhan jenayah. Imam Malik r.a berpendapat harus memenjarakan seseorang yang dituduh melakukan jenayah sekalipun pemenjaraan itu merupakan sejenis penyeksaan, malah sebahagian ulama Maliki berpendapat bahawa pukul(dera) juga harus. Hukum ini pada pandangan ulama Maliki samalah dengan hukum yang menetapkan supaya tukang yang mengambil upah perlu menggantikan bahan yang diserahkan kepadanya oleh pelanggan jika rosak atau hilang, kerana tanpa pukul(dera) dan penjara ketika ada tuduhan yang kuat, tidak mungkin dapat dikembalikan harta daripada tangan pencuri dan perompak. Ini memandangkan bukti keterangan kadang-kadang sukar diadakan. Maka terdapat kepentingan umum untuk mengenakan seksaan terhadap tertuduh sebagai cara mendapatkan kembali harta yang dicuri dengan menunjukkan harta tersebut disembunyikan dan membuat pengakuan.”
As-Syatibi seterusnya menolak anggapan bahawa undang-undang seperti ini boleh membuka pintu penyeksaan kepada orang yang tidak bersalah dengan katanya: Jika dikatakan: ini membuka ruang bagi menyeksa orang yang tidak bersalah.” Jawapannya ialah: Tanpa berbuat demikian harta benda tidak dapat dikembalikan kepada pemilikmya.. Malah tidak melaksanakan seksaan seperti itu lebih besar mudaratnya. Sebenarnya seseorang itu tidak diseksa dengan wujudnya dakwaan semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan petanda-petanda (qarinah) yang kuat dalam diri hingga menimbulkan sangkaan yang kuat di dalam hati. Jadi seksaan pada lazimnya tidak menimpa orang yang tidak bersalah dan jika pun terkena, ia dimaafkan seperti dimaafkan pada hukum mewajibkan ganti ke atas tukang-tukang yang merosakkan barang pelanggan.”
Al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniyah menyatakan bahawa tindakan yang sedemikian hanyalah boleh diambil oleh Amir iaitu kuasa eksekutif. Manakala Qadi atau hakim hanya boleh mengenakan hukuman seksaan setelah disabit tuduhan dalam perbicaraan di mahkamah mengikut prosedur keterangan yang ditetapkan oleh undang-undang sahaja.
Adalah jelas daripada perbincangan para ulama ini, jika penahanan tanpa bicara diharuskan dalam kes harta benda, maka dalam kes-kes yang membabitkan keamanan dan keselamatan negara adalah lebih utama tindakan sedemikian diharuskan. Malah jika pemerintah berpendapat bahawa tanpa penggunaan ISA, keamanan dan keselamatan negara akan terjejas. Maka pada ketika itu menggunaannya adalah wajib. Ini ialah berasaskan satu kaedah usul fiqah yang berbunyi: ”Apa apa perkara yang tidak sempurna perkara yang wajib melainkan dengannya, maka perkara itu adalah wajib.”
Mengharuskan penetapan harga kepada pihak kerajaan pada saat perlu mencegah monopoli sesetengah pihak ke atas sesuatu yang boleh memudaratkan manusia seperti makanan, pakaian dan kesemua bahan-bahan keperluan asas yang lain.
Semua ini menunjukkan betapa keperluan berpegang dengan maslahah hajiyah. Ia mengkhususkan perkara yang umum dan berdasarkan kepada kaedah dan perbandingan-perbandingan umum.
No comments:
Post a Comment