Monday, July 20, 2009


PM Mohd Noor Deris
(Penulis Jemputan onemanekurai)
KENYATAAN PAS BERBAU HASUTAN

KOTA BHARU 21 July- Kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Talib yang mendakwa pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama 50 tahun tidak mengamalkan prinsip asas keislaman dianggap berbau hasutan dan fitnah.


Bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Prof Madya Mohd Noor Deris berkata, kenyataan itu tidak mempunyai asas kerana UMNO sebagai tonggak kepimpinan negara bertindak secara jelas dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemerintah kepada negara umat Islam. “Kenyataan beliau (Harun) berbau hasutan dan fitnah kerana mengajak rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan berdasarkan kepada fakta yang tidak benar. “Pas sepatutnya menggunakan pendekatan membuktikan pihaknya lebih baik dalam usaha menarik sokongan rakyat dan bukannya dengan cara fitnah seperti itu,” katanya di sini, semalam.


Mohd Noor yang pernah menganggotai Dewan Ulama Pas Pusat dari 1981 hingga 1988 berkata, Pas yang ‘diuji’ Allah memerintah Kelantan dan Kedah perlu membuktikan telah melaksanakan tugas sebagai pemerintah Islam dengan sebaik-baiknya.


Menurutnya, jika diteliti apa yang berlaku di kedua-dua negeri itu ternyata Pas gagal melaksanakan tanggungjawab berdasarkan apa yang dilaung-laungkan.


“Jangan menyalahkan Kerajaan Pusat untuk menutup kegagalan sendiri. Pas sendiri gagal menyahut cabaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa pilihan raya kecil Manek Urai supaya membuktikan UMNO tidak memperjuangkan Islam selama parti itu memerintah negara."


“Pas sebenarnya tidak mempunyai bukti untuk menyahut cabaran itu kerana fakta sebenar adalah sebaliknya. "


"UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 terlebih dahulu memperjuangkan syiar Islam daripada Pas dengan memperjuangkan kemerdekaan negara yang juga tuntutan fardu kifayah,” katanya. Menurutnya, dalam Perlembagaan UMNO salah satunya adalah untuk menegakkan syiar Islam berdasarkan Fasal 3 Perlembagaan UMNO dengan jelas menyebut mengenai asas dan tujuan penubuhan UMNO yang antara lain, ‘menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama’.


Mohd Noor berkata, Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi bagi Malaysia adalah hasil perancangan UMNO. Katanya, fasal 3 Perlembagaan UMNO dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bukan secara kebetulan menyebut mengenai agama Islam tetapi membuktikan semua itu dirancang dan ditentukan oleh pemimpin UMNO.


Beliau berkata, Pas perlu menghentikan dakwaan mengatakan Kerajaan Pusat dan UMNO tidak mengamalkan dasar Islam kerana ia secara tidak langsung menyebabkan wujudnya kumpulan yang bertindak secara ekstrem menjatuhkan kerajaan yang sah.


“Lahirnya kumpulan ekstrem seperti al-Maunah, kumpulan militan, gerakan bawah tanah dan beberapa kumpulan yang mendakwa ‘jihad’ adalah berpunca daripada percaya bahawa Malaysia bukan negara Islam,” katanya.

No comments:

Post a Comment